NEW YORK: Donald Trump menjadi bekas Presiden Amerika Syarikat pertama yang menghadapi perbicaraan kes jenayah apabila beliau hadir di Mahkamah Manhattan pada Isnin.

Beliau menghadapi pertuduhan pembayaran wang rahsia kepada seorang bintang porno yang boleh merumitkan usahanya untuk menawan semula White House.

Memakai sut biru dan tali leher merah, Trump yang berusia 77 tahun, duduk tanpa ekspresi di meja pembelaan bersama peguamnya.

Hakim Juan Merchan, yang menyelia perbicaraan, memasuki kira-kira setengah jam kemudian.

Trump dikehendaki menghadiri perbicaraan itu, yang dijangka berlangsung hingga Mei depan.

Sementara itu, pemilihan 12 juri dan enam orang pengganti dari kalangan penduduk Manhattan dijangka mengambil masa kira-kira seminggu, diikuti dengan keterangan saksi.

Hakim Merchan pada masa sama menafikan cubaan kedua Trump untuk meminta beliau menarik diri daripada kes itu atas alasan anak perempuannya bekerja untuk firma perunding politik dengan pelanggan Demokrat yang sekali gus menimbulkan konflik kepentingan.

Pendakwaan terhadap Trump dilakukan pendakwa raya New York yang menuduh beliau telah memalsukan rekod dengan membayar AS$130,000 semasa kempen Presiden 2016.

Ia bagi menutup mulut bintang porno, Stormy Daniels berkenaan pertemuan seksual yang dilakukan mereka pada 2006.

Trump menafikan menafikan semua tuduhan berkait hubungan sedemikian.

Beliau mengaku tidak bersalah tahun lalu atas 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan dalam kes yang dibawa oleh Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg, yang juga seorang anggota Demokrat di Mahkamah Negeri New York.