Perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd hari ini ditangguhkan selepas peguam bela Datuk Seri Najib Razak membuat permohonan agar ia dihentikan awal.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selaku peguam mewakili Najib membuat keputusan itu selepas keterangan saksi-39, Tan Sri Ismee Ismail di mahkamah pada Khamis dilihat bercanggah dengan keterangannya bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan perlu diteliti semula.

Menurut Shafee, saksi ke-39 itu sebelum ini berkata nasihat resolusi pemegang saham lebih dipatuhi berbanding Najib selaku Penasihat Emeritus SRC.

“Kami memohon untuk meneliti transkrip keterangan saksi tentang resolusi petang ini,” katanya kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali selain turut memohon perbicaraan disambung pada esok pagi.

Hakim kemudian membenarkan permohonan pihak peguam dan menetapkan perbicaraan disambung semula esok jam 9 pagi.

Sesi perbicaraan pada Khamis kelihatan hangat apabila saksi ke-39 itu secara berterusan menerima asakan soalan daripada peguam Harvinderjit Singh berkaitan resolusi pihak pengurusan SRC.

Ismee merupakan saksi yang dipanggil selama empat hari berturut-turut untuk memberi keterangan kepada mahkamah dalam perbicaraan melibatkan bekas Perdana Menteri itu.