LABUAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini untuk lawatan kerja setengah hari.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Labuan pada pukul 3.55 petang dan beliau diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

Ketibaan Perdana Menteri disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman, Senator Datuk Seri Anifah Aman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail.

Anwar dijadualkan menghadiri Majlis Menyantuni Ketua Isi Rumah Miskin Tegar dan Majlis Ramah Mesra di Dewan Konvensyen Kompleks Ujana Kewangan di sini .

Beliau juga dijadualkan menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Perancangan Wilayah Persekutuan Labuan dan makan malam bersama ketua-ketua jabatan kerajaan di Hotel Grand Dorsett di sini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Ini merupakan lawatan sulung Anwar ke pulau bebas cukai ini sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri November tahun lepas.

--BERNAMA