MALAYSIA
Perhimpunan di ibu negara Sabtu ini: Polis terima 60 laporan

Pada 18 Julai, Mohamed Usuf dilaporkan berkata pihaknya sudah menerima pemakluman penganjuran perhimpunan itu yang dibuat di IPD Dang Wangi daripada penganjur. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 60 laporan polis dari seluruh negara setakat Rabu lepas, berhubung perhimpunan yang dijadual berlangsung Sabtu ini di ibu negara.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata perhimpunan tersebut dijangka disertai antara 10,000 hingga 15,000 peserta, membabitkan gabungan badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa serta masyarakat awam.
Beliau berkata peserta dijangka akan berkumpul di lima lokasi utama iaitu Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru dan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
"Bagi memastikan keselamatan pengguna perkhidmatan awam di tahap maksimum, pihak pengendali perkhidmatan awam dan pihak polis akan ditambah di beberapa stesen yang terlibat," katanya dalam kenyataan hari ini.Mohamed Usuf berkata antara stesen yang terlibat termasuk Stesen LRT KL Sentral, Masjid Jamek, Pasar Seni, Dang Wangi, Plaza Rakyat dan Bandaraya; serta Stesen MRT dan Monorail seperti Muzium Negara, Merdeka, Bukit Bintang, Imbi, Raja Chulan, Bukit Nanas, Medan Tuanku dan Chow Kit.
Beliau berkata pihaknya menjangkakan akan berlaku kesesakan jalan raya menghala ke pusat bandar berikutan pertambahan jumlah peserta perhimpunan memasuki kawasan yang terlibat, namun tiada penutupan jalan akan dilaksanakan.
"Penganjur dan peserta dinasihatkan mematuhi semua peraturan serta undang-undang sedia ada semasa berhimpun, selaras dengan hak-hak kebebasan berhimpun secara aman yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan tersebut hendaklah digunakan secara baik dan berhemah," katanya.
Mohamed Usuf berkata antara larangan semasa perhimpunan termasuk membawa senjata atau objek tajam, mercun atau suar, sepanduk provokatif, ucapan berunsur fitnah, membawa kanak-kanak dan tindakan melawan arahan pihak berkuasa.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau kumpulan yang mencetuskan kekacauan, rusuhan atau provokasi melampau," katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berdekatan.
Pada 18 Julai, Mohamed Usuf dilaporkan berkata pihaknya sudah menerima pemakluman penganjuran perhimpunan itu yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi daripada penganjur.
Susulan itu, polis menugaskan lebih 2,000 anggota bagi kawalan keselamatan perhimpunan terbabit yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami