NATIONAL
Perjanjian grid kuasa ASEAN dimeterai Okt 2025 - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul (tengah) berkata Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN menyambut baik usaha berterusan ke arah penubuhan Kerangka Kemudahan Pembiayaan APG, yang akan menggalakkan aliran pelaburan langsung asing (FDI) rentas sempadan. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rundingan mengenai Memorandum Perjanjian Dipertingkatkan bagi Grid Kuasa ASEAN (APG), yang bertujuan memperkukuh keselamatan, kesalinghubungan dan kemampanan tenaga, dijangka dimuktamadkan dan dimeterai pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43, Oktober ini.
Ringkasan AI
- Rundingan mengenai Memorandum Perjanjian Dipertingkatkan bagi Grid Kuasa ASEAN (APG) dijangka dimuktamadkan dan ditandatangani pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 pada Oktober 2025, sebagai langkah memperkukuh keselamatan, kesalinghubungan dan kemampanan tenaga serantau.
- Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN menyambut baik usaha ke arah penubuhan Kerangka Kemudahan Pembiayaan APG yang dijangka menggalakkan pelaburan langsung asing rentas sempadan dan membuka peluang pembiayaan baharu bagi projek tenaga.
- Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) turut menyokong penganjuran mesyuarat bersama antara menteri tenaga, kewangan dan ekonomi ASEAN pada Ogos 2025, sebagai sebahagian daripada agenda kerjasama serantau di bawah tema -Keterangkuman dan Kemampanan- sempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025.
Mesyuarat itu diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dengan 11 agenda utama dibincangkan, memfokuskan kepada pengukuhan kerjasama serantau.
Mesyuarat dipengerusikan Tengku Zafrul itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong; Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei Datuk Dr Awang Mohd Amin Liew Abdullah; Menteri Perdagangan Kemboja Cham Nimul; Menteri Industri dan Perdagangan Vietnam Nguyen Hong Dien; Menteri Perdagangan Indonesia Budi Santoso; dan Menteri Perindustrian dan Perdagangan Laos Malaithong Kommasith.
Turut hadir ialah Setiausaha Rendah Jabatan Perdagangan dan Industri Filipina Allan B. Gepty; Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong; Menteri Perdagangan Thailand Pichai Naripthaphan dan Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste Francisco Kalbuadi Lay.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di bawah Kepengerusian Malaysia 2025 bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan" merupakan kali kelima Malaysia mempengerusikan blok serantau itu sejak tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Sidang Kemuncak ASEAN dan Mesyuarat Berkaitan dijangka membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mendesak, termasuk krisis berterusan di Myanmar yang kekal menjadi kebimbangan ASEAN.
Selain mesyuarat peringkat ASEAN, sidang kemuncak turut menampilkan dua platform penting antara rantau - Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China - yang mencerminkan peningkatan keterlibatan ASEAN dengan rakan strategiknya di rantau Teluk dan China.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami