Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mencadangkan PAS mengadakan petisyen bagi mendapatkan sokongan masyarakat terhadap usul Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1965 yang turut dikenali RUU 355.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata tindakan mengumpul tanda tangan sebagai sokongan dilihat lebih baik berbanding mengadakan perhimpunan di ibu kota.

"Pungutan suara itu lebih baik, lebih teratur dan akan menampakkan bahawa PAS lebih ikhlas memperjuangkan apa yang dituntut dalam Islam dan bukannya untuk agenda politik," katanya pada sidang media, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan PAS untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran untuk memberi penerangan kepada orang ramai khususnya umat Islam mengenai cadangan pindaan Akta 355 itu.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis hanya akan membenarkan 'Himpunan 355' diadakan di Dataran Merdeka pada 18 Feb ini sekiranya penganjur mematuhi semua syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

-- BERNAMA