Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menggesa kerajaan supaya mewujudkan jabatan penerangan bagi menerangkan undang-undang sedia ada termasuk yang baru diluluskan supaya rakyat dapat memahami tujuannya.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, ini kerana masih ramai rakyat yang tidak tahu tentang hukuman yang dikenakan berhubung undang-undang yang dilaksanakan.

"Banyak yang lupa Akta Hasutan ini dimasuk bawah Perlembagaan pindaannya pada 1971 selepas 13 Mei. Bila dibuat pindaan ini termasuklah kebebasan Ahli Parlimen," katanya pada sidang selepas mesyuarat khas NGO Melayu-Islam Sebagai Penggerak Perpaduan Nasional.

Memetik contoh Akta Hasutan 1948, katanya ramai yang tidak sedar bahawa di bawah Perkara 63 Perlembagaan dengan penambahan Perenggan 4, menyatakan bahawa ahli parlimen tidak kebal apabila menghasut di dalam Dewan Rakyat, mesikpun kebebasan bercakap dijamin.

Perenggan 4 itu menidakkan Fasal 2 Perlembagaan yang secara amnya memberikan hak-hak kebebasan asasi, serta menerangkan bahawa sesiapapun termasuk ahli Parlimen yang berucap di Dewan Rakyat boleh didakwa jika melakukan kesalahan di bawah Fasal 4 Perkara 10 atau di bawah Akta Hasutan 1948.

"Kita kena didik rakyat supaya mereka tahu, dalam Akta Hasutan, ahli-ahli Parlimen pun tidak boleh bercakap sesuka hati," tegas bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu.

Beliau merujuk kepada kes bekas Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kawasan Kinabalu, Mark Koding yang didakwa di bawah Akta Hasutan ekoran menggunakan perkataan menghasut dalam ucapannya di Dewan Rakyat pada 11 Oktober 1978 yang meminta kerajaan menutup sekolah Cina dan Tamil.

Tegas Ibrahim, kerajaan seharusnya memberi penerangan yang jelas tentang suatu undang-undang itu supaya rakyat boleh menghargai dan tahu apa hukumannya.

"Tetapi rakyat ramai tak tahu hal undang-undang.. kalau dia salah melanggar lampu isyarat pun dia tidak tahu berapa nak kena denda," katanya.

Selain itu, beliau juga mencadangkan supaya setiap berita tentang pesalah yang dihukum, disebarkan untuk tujuan memberi kesedaran.

Dalam pada itu PERKASA tegas dengan pendirian bahawa Akta Hasutan perlu dikekalkan kerana dakwanya ramai pihak kini telah berani mengkritik serta menghasut sesuka hati.

Kata beliau, PERKASA akan beri fokus pada lima agenda perjuangan yang benar-benar serius yang antaranya menentukan bahawa Akta Hasutan dikekalkan dan ditambah baik dengan memasukkan pindaan Perkara 3(1) perkara berkaitan agama Islam.

Tambahnya lagi, PERKASA turut sedang mengadakan mesyuarat di seluruh peringkat kawasan yang berjumlah 185 kawasan, sehingga 15 November bagi memperkukuhkan agenda yang diperjuangkan itu.