MELAKA:Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menggesa majikan supaya tidak mengabaikan caruman insurans ke atas pekerja berusia lebih 60 tahun, kerana golongan ini masih layak dilindungi di bawah Skim Bencana Pekerjaan sekiranya berlaku kemalangan ketika bekerja.

Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar berkata caruman bagi pekerja yang berusia lebih 60 tahun disumbangkan sepenuhnya oleh majikan sebanyak satu peratus daripada jumlah gaji pekerja, namun masih ramai majikan dilihat tidak mencarum untuk pekerja mereka dalam golongan ini.

Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk membuat caruman bagi pekerja daripada golongan ini, dan kegagalan berbuat demikian merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah Seksyen 94 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1994.

"Jadi saya menyeru semua majikan di luar sana agar memastikan pekerja mereka yang berusia lebih 60 tahun turut dicarum supaya mereka layak mendapat tuntutan atau bantuan daripada Perkeso," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Faedah Orang Tanggungan di Pangsapuri Taman Anika di sini, hari ini.

Pada majlis itu balu kepada orang berinsurans Sim Her Yam iaitu Tan Suat Tee, 57, menerima pemberian 'sekali beri' merangkumi Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan sebanyak RM1,156.68.

-- BERNAMA