KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan melaksanakan jerayawara bermula Isnin ini bersama majikan di seluruh negara bertujuan memberi penerangan mengenai kaedah penajaan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) kepada pekerja syarikat atau wanita B40 dengan pengecualian cukai.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sosial Suri Rumah Perkeso Kasthuri Patto berkata tujuh sesi (6, 7, 13 Mei, dan 2, 12, 18, 23 Julai) akan diadakan di Wisma Perkeso Kuala Lumpur melibatkan majikan di sektor swasta, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi lain.

Beliau berkata pelaksaan itu hasil pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Perkeso bersama Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKNM) pada 14 Mac lepas berkenaan pengecualian cukai pendapatan mengikut peruntukan seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Sesi jerayawara ini dijangka meningkatkan keterjaminan perlindungan sosial lebih komprehensif melalui perlindungan SKSSR khusus untuk pekerja wanita serta isteri pekerja dengan pengecualian cukai bagi kategori wanita B40, atau M40.

"Sesi jerayawara ini juga akan diperluaskan kepada Pejabat-Pejabat Perkeso di seluruh negeri di Malaysia, bagi memastikan kesedaran dan pemahaman yang menyeluruh terhadap inisiatif ini," katanya dalam sidang media hari ini.

Setakat ini beliau berkata 10 syarikat telah mengambil bahagian dalam inisiatif pengecualian cukai bagi caruman SKSSR antaranya Malayan Banking Berhad, Berjaya Corporation Berhad, Sime Darby Property dan Lembaga Tabung Haji yang berjumlah RM558,360 serta memanfaatkan 4,864 wanita golongan B40.

Selain itu sehingga 21 April, Kasthuri berkata sebanyak 253,794 wanita telah mencarum di bawah SKSSR dan jumlah tuntutan serta pembayaran faedah kepada pencarum secara kumulatif dari 1 Jan 2023 hingga 15 April tahun ini adalah sebanyak RM1,596,324.66.

Beliau berkata pembayaran faedah itu antaranya melibatkan Hilang Upaya Kekal sebanyak 75 tuntutan berjumlah RM72,000; Elaun Keuzuran (43 tuntutan berjumlah RM74,402.12); Faedah Pengurusan Mayat (441 tuntutan berjumlah RM824,214.55) serta Pencen Penakat (322 tuntutan berjumlah RM603,887.59)

Pada masa ini beliau berkata Sarawak menjadi negeri tertinggi pendaftaran SKSSR iaitu sebanyak 56,128 diikuti Sabah (49,780), Selangor (16,867), Johor (16,588), Terengganu (16,348), Kelantan (15,489), Perak (15,397) dan Pulau Pinang (13,953).

Kedah mencatatkan sebanyak 13,855 pendaftaran, Negeri Sembilan (11,161), Pahang (9,154), Melaka (8,056) dan Perlis (3,725) manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan merekodkan 7,293 pendaftaran.

-- BERNAMA