Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan berangkat menziarahi keluarga Allahyarham Nurul Ain Sajali di Kampung Sepakat, Masai, di sini, Khamis malam.

Menurut catatan dalam laman Facebook The Royal Johor, baginda berangkat tiba di kediaman keluarga Nurul Ain pada 9 malam, beberapa minit selepas ketibaan jenazah kanak-kanak itu.

Nurul Ain yang berusia sembilan tahun, lemas dalam tragedi di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, pada Rabu, dan mayatnya ditemukan kira-kira 4.30 petang Khamis.

Tuanku Permaisuri meluangkan masa hampir 45 minit membaca Surah Yasin serta menemui kedua ibu bapa Allahyarham Nurul Ain, Sajali Ninmat dan Nurin Abdullah.

Jenazah Nurul Ain selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pertanian, Masai, selepas selesai solat Isyak.

Menurut catatan itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Tuanku Permaisuri Johor turut menzahirkan rasa sedih di atas tragedi yang menimpa kanak-kanak itu dan baginda berdua turut berkongsi kesedihan.

-- BERNAMA