Skip to main content

Malaysia

Permohonan penggajian pekerja asing dalam talian tingkat tadbir urus, kecekapan

71643032753_TBPEKERJAASING.jpg
Menurut ACCCIM MYFutureJobs kini menjadi prasyarat bagi permohonan kuota pekerja asing, dan hanya sektor perladangan dikecualikan daripada keperluan berkenaan. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Peralihan kaedah penghantaran permohonan penggajian  pekerja asing secara manual kepada platform dalam talian merupakan langkah positif ke arah meningkatkan ketelusan, tadbir urus dan kecekapan.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Jacob Lee Chor Kok berkata peralihan itu susulan pelaksanaan sepenuhnya proses permohonan baharu menerusi Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), yang berkuat kuasa pada Sabtu.

“Keberkesanan sistem baharu itu akan dapat dinilai melalui keupayaan mempercepat kelulusan, mengurangkan beban pentadbiran dan kos pengambilan pekerja, serta memberikan lebih kepastian serta ketelusan kepada majikan sepanjang proses permohonan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu

Lee menyifatkan komitmen untuk mengeluarkan Surat Kelulusan Bersyarat (SKB) dalam tempoh 14 hari sebagai positif dalam penyampaian perkhidmatan, dan tempoh itu dilihat merangkumi beberapa proses utama seperti temu duga dengan Agensi Kawal Selia (AKS) dan pembayaran levi pekerja asing.

Beliau turut menyeru Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memberikan maklumat yang lebih jelas mengenai tempoh pemprosesan melalui sistem semakan status yang telus, selain meminta supaya permohonan sektor pembuatan yang masih tertangguh diproses segera bagi meminimumkan gangguan terhadap operasi perniagaan dan pengeluaran.

Sementara itu, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) mencadangkan supaya sektor pertanian dan pembinaan dikecualikan daripada keperluan mengiklankan kekosongan jawatan dalam portal MYFutureJobs sebelum memohon kuota pekerja asing, berikutan kesukaran mendapatkan pekerja tempatan.

Menurut ACCCIM MYFutureJobs kini menjadi prasyarat bagi permohonan kuota pekerja asing, dan hanya sektor perladangan dikecualikan daripada keperluan berkenaan.

“Walaupun kami menyokong mengutamakan pengambilan pekerja tempatan, sektor pertanian dan pembinaan wajar diberikan pengecualian daripada keperluan mengiklankan kekosongan dalan portal MYFutureJobs memandangkan kesukaran mendapatkan pekerja tempatan,” katanya dalam kenyataan.

ACCCIM turut mencadangkan supaya sesi temu duga dengan agensi kawal selia seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) diadakan beberapa hari dalam seminggu, dan dibenarkan diadakan di lokasi yang ditetapkan di wilayah utara, selatan dan timur, bukan hanya di Putrajaya sahaja.

Selain itu, lebih ramai penemu duga diperlukan bagi mengurangkan beban pentadbiran dan meningkatkan pengurusan sumber, memandangkan temu duga bagi industri tertentu ketika ini hanya dijadualkan sekali seminggu.

Terdahulu, KESUMA mengumumkan bahawa permohonan penggajian pekerja asing kini dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian menerusi FWCMS, sekali gus menggantikan kaedah permohonan secara manual atau hadir sendiri mulai hari ini.

Menurut KESUMA pendekatan itu bertujuan mengurangkan keperluan majikan untuk hadir berulang kali ke pejabat kerajaan, mengurangkan tempoh menunggu serta menjadikan keseluruhan proses lebih tersusun, mematuhi tatakelola dan selesa.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement