PETALING JAYA : Perolehan berkenaan kenderaan rasmi jenis Mercedes S600 untuk kegunaan Perdana Menteri sempat dibatalkan, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah membuat semakan berkenaan perkara itu dan mendapati perolehan kereta tersebut boleh dibatalkan.

Memetik laporan BH Online, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau lebih selesa dengan hanya menggunakan kereta jenis Toyota Camry untuk segala urusan.

"Kereta Mercedes tak sampai...saya pakai kereta ini (Toyota Camry) okay kan? Mana-mana kereta yang ada.

"Sebenarnya, ia (Mercedes) dipesan oleh Perdana Menteri yang lalu tapi saya semak, tengok boleh tak batal. Sempat batal," katanya selepas menpengerusikan mesyuarat Presiden Pakatan Harapan (PH) di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya pada Isnin, seperti dipetik BH Online.

Antara yang hadir termasuk Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Anwar sebelum ini menolak untuk menggunakan Mercedes S600 yang telah dibeli dan diperoleh JPM untuk kegunaan rasmi Perdana Menteri sebelum beliau memasuki pejabat.

Langkah tersebut diambil kerana enggan sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atas beliau.

Sebaliknya, beliau memutuskan untuk menggunakan kenderaan yang terdapat di pejabat untuk kegunaan harian.

Beliau dalam masa yang sama turut mengumumkan untuk tidak mengambil gaji Perdana Menteri dan enggan melakukan sebarang pengubahsuaian di pejabatnya.