Urusan perpindahan aset air Selangor dijangka selesai dalam masa 60 hari dari tarikh perjanjian utama ditandatangani, baru-baru ini.

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata tiada perubahan kepada perjanjian tambahan kepada perjanjian utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Secara keseluruhannya, semuanya berjalan dengan lancar," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor di Stadium Shah Alam di sini, pada Ahad.

Tambah Azmin, tiada pertukaran terma dalam perjanjian utama.

"Walaupun terdapat sedikit pertikaian mengenai aset di Semenyih dan Bukit Nanas, maka untuk menyegerakan proses ini, Kerajaan Negeri telah menyerahkan empat aset lain yang mempunyai nilai yang sama dengan dua aset tersebut," jelas beliau.

Perjanjian berkenaan membabitkan kerajaan persekutuan, kerajaan Selangor, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 Julai telah menyaksikan majlis menandatangani tersebut yang diadakan di Putrajaya.

Dengan termeterainya perjanjian tambahan itu, pihak yang terbabit kepada perjanjian itu mempunyai tempoh selama 60 hari untuk menyelesaikan syarat awal (conditions precedent atau CPs) kepada perjanjian utama.

Setelah kesemua CPs dipenuhi, Perjanjian Utama dan Perjanjian Jual Beli Saham Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) akan dikuatkuasakan bagi membolehkan Air Selangor mengambil alih Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).