KOTA BHARU: Persatuan Buruh Paksa Jepun Kelantan berharap pampasan yang dijanjikan kerajaan akan ditunaikan.

Menurut penaung persatuan, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim, bayaran pampasan seperti yang dijanjikan tergendala disebabkan berlaku perubahan di peringkat kerajaan.

Beliau memaklumkan sebelum ini bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berjanji akan mengemukakan isu pampasan ke mesyuarat jemaah menteri.

"Kita tetap berusaha untuk ahli-ahli mendapat pampasan. Difahamkan kerajaan telah menerima pampasan tersebut sebanyak RM207 bilion daripada kerajaan Jepun tetapi malangnya pampasan tidak diserahkan lagi kepada waris-waris mereka.

"Kita masih berusaha melalui kerajaan yang ada hari ni supaya lihat semula dan kaji semula kerana waris ini perlukan pampasan dan kalau benar kerajaan Jepun sudah bayar, sepatutnya lama sudah diserahkan," katanya.

Persatuan buruh paksa Jepun mempunyai lebih 300 ahli waris buruh binaan Landasan Kereta Api Maut di Burma pada tahun 1942.

Berdasarkan pencarian dan sumber waris, lebih 30,000 rakyat Malaysia dikerah menjadi buruh paksa sewaktu penalukkan Jepun di Tanah Melayu.

Namun kebanyakan waris atau ahli keluarga sebahagian buruh paksa itu gagal dikesan.

Pada masa ini masih terdapat bekas buruh binaan itu yang masih hidup, namun berada dalam keadaan uzur.

Menurut Shahul lagi, pihaknya ada mengutuskan surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung tuntutan berkenaan.

Sepanjang penubuhan Persatuan Buruh Paksa Jepun, sudah enam kali pihaknya membuat tuntutan kepada kerajaan sama ada melalui surat atau pertemuan.