KUALA LUMPUR: Kerosakan di bahagian rumah akibat bencana seperti ribut dan puting beliung dapat diatasi dengan seni bina rumah yang tidak terlalu berpenjuru.

Menurut Pensyarah Dan Penyelidik Senibina, Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaya (UKM), Prof Madya Azimin Tazilan, ini kerana struktur yang bersudut tajam boleh menyukarkan rintangan angin sekali gus mengakibatkan kerosakan lebih teruk.

“Sesiapa yang merancang untuk membina rumah atau apa-apa bentuk bangunan, pastikan ia tidak terlalu berpenjuru.

“Dalam bahasa mudahnya adalah seni bina itu free flow formation. Ia perlu dijadikan satu inovasi yang ringkas.

“Kalau sebelum ini bumbung selalunya bentuknya tajam, bermakna di hujung bumbung itu, kita bulatkan sedikit pada sudut yang lebih rata atau sedikit melengkung.

“Maka, pergerakan angin itu menjadi lebih lancar, ia lebih mudah mengalir,” ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI bagi mengulas persediaan seni bina negara ketika situasi bencana yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

BACA: 11 negeri dijangka alami ribut petir, hujan lebat - MetMalaysia 

BACA: Polis terima 305 laporan mangsa ribut dan puting beliung di Ipoh 

Selain itu, beliau menambah bahawa pemilik rumah supaya lebih bersiap sedia dan boleh membuat inisiatif sendiri seperti mengenal pasti kerosakan di bahagian bumbung atau dinding rumah.

“Pastikan bumbung yang bocor itu dibaiki dengan segera, jika ada ruangan yang berlubang, pastikan ia ditampal atau diperbetulkan kerana angin ini boleh masuk di ruangan lubang itu.

“Juga, pastikan tiada kepingan dinding atau bumbung yang bergegar yang kadang-kadang kita boleh kesan kerana jika angin kuat melintasi kawasan rumah, kita boleh melihat ada gegaran di bahagian bumbung.

“Bermakna, di situ kita sudah tahu kerangka bumbung atau rumah kita itu memang sudah tidak kuat jadi kita kena kedapkan atau kukuhkan semula,” tambahnya lagi.

Binaan Kalis Ribut | Struktur konkrit tulang lebih kukuhkan rumah

Dalam pada itu, Prof Azimin melihat, asas kepada pembinaan sebuah rumah yang lebih kukuh adalah dengan menggunakan struktur konkrit tulang.

Ia seperti yang diguna pakai oleh kawasan perumahan di Texas, Amerika Syarikat yang sememangnya terkenal dengan zon terdedah kepada bencana ribut dan puting beliung.

“Bermakna reka bentuknya, kalau kita lihat dalam kajian, banyak menggunakan struktur penggunaan yang lebih kebal dan kukuh seperti struktur konkrit tulang.

BACA: 'Puting beliung mini' adalah fenomena biasa selepas ribut petir - Pakar

Pada 27 Januari lalu, kira-kira 40 rumah di Kampung Kebun Bunga, Seksyen 22 di Shah Alam rosak akibat hujan lebat dan ribut yang disusuli hujan batu di kawasan itu.

Beberapa hari kemudian, ratusan rumah di beberapa kawasan termasuk sekitar Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai, Ipoh mengalami kerosakan akibat angin ribut dan puting beliung.

Seterusny pada 31 Januari lepas, sebanyak 17 rumah penduduk di Rumah Rakyat Kampung Pengkalan Durian Linggi, Port Dickson rosak dilanda ribut apabila diterbangkan angin kuat.

Bencana Alam | Puting beliung makin kerap berlaku - Pakar