Lebih 1,000 ahli komuniti perniagaan dan ahli korporat menyertai Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) 2019 yang dianjurkan buat kali ke-9 sejak mula diperkenalkan pada 2011.

Mengangkat tema ‘Future-Proofing Business in The Digital Age’, majlis tersebut dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bertempat di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, pada Selasa.

Menurut Saifuddin, persidangan kali ini memberikan fokus kepada perubahan landskap perniagaan serta cabaran terhadap perubahan digital pada masa kini, di mana teknologi memainkan peranan yang amat besar dalam arus informasi, proses globalisasi serta ekonomi.

Tema 'Future-Proofing Business in The Digital Age' dipilih bagi membolehkan entiti perniagaan, khususnya lembaga pengarah syarikat, memahami pelbagai cabaran dalam era digital sebagai persiapan untuk menghadapi perubahan pada masa hadapan, tambahnya.

Persidangan tersebut dikategorikan sebagai salah satu agenda tahunan SSM untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak-pihak berkepentingan, seperti pengamal sektor korporat, serta komuniti perniagaan yang terdapat di Malaysia.

Antara golongan yang terlibat ialah ahli lembaga pengarah, setiausaha syarikat, sektor korporat, pengamal undang-undang, usahawan, ahli akademik dan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan.