PENGGUNAAN media sosial boleh dilihat mula menjadi trending pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 atau 12 yang lepas.

Ia mungkin alternatif baharu untuk menyebar maklumat atau berkempen serta bahan propaganda yang pantas disebar kepada pengundi dengan kos paling rendah.

Ironinya, penyebaran maklumat melalui media sosial tidak boleh disahkan kebenaran faktanya lantas boleh menimbulkan pelbagai maksud serta persepsi negatif yang lari dari maksud asal ia dimuat naik.

Bagaimanapun tidak boleh dinafikan ia juga platform terbaik menyebar maklumat benar melalui saluran rasmi atau portal-portal berita mahupun media sosial seperti Twitter, Facebook atau Instagram yang dimiliki agensi rasmi kerajaan.

Senario Sarawak

Di Sarawak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ini senarionya sedikit berlainan, penggunaan media sosial walaupun tidak dapat dinafikan keperluannya namun dapatan Ketua Penyelidik Pusat Penyelidikan Media Strategik (MINSTRA), Ahmad Fauzi Mustafa memberi bayangan berbeza.

Katanya, 66 daripada 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berada di luar bandar menunjukkan lebih 70 peratus dalam lingkungan keperluan media konvensional menolak kepentingan media sosial di sana.

Isunya bukan menolak namun mungkin capaian rangkaian demografi menafikan penduduk untuk menikmati atau dapat meraih berita pantas dari media sosial itu sendiri.

Bagaimanapun, kempen media sosial yang digunakan pembangkang di Sarawak boleh diklasifikasikan sebagai agak keterlaluan.

Banyak poster atau berita yang disebar di platform Facebook misalnya menyentuh tentang isu kerajaan nasional yang tidak mahu dibaca rakyat negeri ini atau suntingan yang tidak boleh diterima rakyat Sarawak sendiri.

Nilai murni

Harus diingat, rakyat Sarawak terkenal dengan nilai-nilai murni dan sentiasa menyekat kemasukan anasir luar yang bersifat melampau dan berisiko kepada masyarakat mereka.

Kerana itu, selain penolakan total masyarakat Sarawak terhadap propaganda negatif di media sosial, kerajaan negeri turut menyekat beberapa individu yang dirasakan berisiko untuk masuk ke negeri itu seawal mereka sampai di lapangan terbang lagi.

Kembali kepada persoalan Ahmad Fauzi tentang siapa yang akan menjadi jaguh kuasa media semasa PRN kali ini, ia boleh dijawab dalam dua kategori berbeza iaitu media sosial dan konvensional.

Melihat kepada pegangan 12 kerusi DAP dan tiga oleh PKR pada PRN yang lalu, ia sudah membayangkan kerusi-kerusi itu terletak di bandar-bandar besar sahaja.

Ia juga bukti kekuatan pengaruh media sosial di bandar dan pinggir bandar yang dapat menawan hati pengundi mungkin kerana grafik atau pengolahan fakta (walaupun ada yang dimanipulasi) menarik yang 'mencairkan' hati pembacanya.

Satu lagi faktor, hanya kira-kira 21 peratus atau 136,755 daripada 1,141,294 pengundi di Sarawak kali ini yang berusia 21 sehingga 39 tahun turut memainkan peranan mereka dalam menyumbang pengaruh kempen melalui media sosial.

Jumlah itu juga sebenarnya terlalu rendah untuk membuktikan DAP atau ahli keluarga Pakatan Harapan yang lain untuk menawan lebih banyak kerusi melalui sebaran propaganda atau pujukan kempen melalui media sosial.

Ia juga menolak kemungkinan pengurangan kerusi Barisan Nasional (BN) terutama di pinggir atau luar bandar untuk jatuh ke tangan pembangkang.

Strategi BN

Sekadar cadangan, BN boleh mempertingkatkan penggunaan media sedia ada seperti akhbar dan elektroniknya sebagai medium kempen berkesan pada PRN kali ini.

Mereka juga boleh juga mencuba kembali penggunaan van yang dilengkapi alat siar raya sebagai teknik berkesan untuk menawan pengundi luar bandar khususnya atau boleh dikembalikan taktik tradisional itu di bandar besar.

Siapa tahu mungkin rakyat bandar yang sedia maklum mahu maklumat pantas sudah jemu membaca atau mendengar berita di media sosial yang tidak pasti kebenarannya. Belum cuba belum tahu.

Realitinya nampak mudah, kedengaran enteng tetapi capaian jalur lebar yang dikatakan sudah meningkat dari 13.6 peratus pada tahun 2008 kepada 78.3 peratus kini seperti yang dilapor Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari baru-baru ini mungkin signalnya.

BN seharusnya perlu kembali ke landasan menguasai platform media sosial dengan berita sahih atau propaganda putih yang menjadikan rakyat Sarawak ternanti-nanti berita tepat lagi cepat di alam maya.

Sekurang-kurangnya beberapa kerusi di bandar dapat dikembalikan menggunakan kekuatan media sosial versi BN selain kerusi pinggir dan luar bandar yang tetap terjamin untuk Team Adenan.




Video berdurasi 1 minit 11 saat yang menunjukkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem membawa bas simbolik keharmonian dan membawa kemajuan kepada negeri itu - Sumber YouTube KLXpress


*Wan Syamsul Amly adalah wartawan Astro AWANI yang sedang membuat liputan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 ketika ini.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.