KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, 18 pertuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan terhadapnya merupakan satu usaha untuk mengalihkan perhatian rakyat.

Wan Saiful turut menyifatkan, kesemua pertuduhan itu sebagai menutup kegagalan kerajaan hari ini dalam menangani isu yang membelenggu rakyat terutama kos sara hidup.

"Saya mengangap pertuduhan baharu yang dikenakan kepada saya ini adalah satu usaha mengalih perhatian rakyat daripada pelbagai kegagalan yang dilakukan kerajaan hari ini… gagal mengawal kenaikan harga barang, gagal mengawal kenaikan kos sara hidup, gagal membantu rakyat, gagal menjalankan reform yang mereka perjuangkan dan banyak lagi kegagalan tersebut.

"Jadi mereka terpaksa mencari isu-isu baharu boleh digunakan untuk mengalih perhatian rakyat daripada segala bentuk kegagalan mereka.

"Malahan buat demonstrasi bantah kekejaman Israel pun gagal sebab banyak komplen kita terima.

“Usaha mengalih perhatian ini kita faham terpaksa dilakukan dengan segera sebab kritikan yang mereka hadapi hari ini teruk kerajaan dikritik, kalau tidak diubah perhatian maka tumpuan rakyat adalah pada kegagalan mereka," dakwa Wan Saiful ketika ditemui wartawan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pertuduhan baharu satu usaha alihkan perhatian rakyat - Wan Saiful

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mendakwa, pertuduhan yang dikenakan terhadapnya juga dibuat secara tergesa-gesa apabila beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) selama 30 minit sebelum dituduh kembali di kamar mahkamah berbeza.

"Saya masuk (mahkamah) jangkaan untuk dituduh dengan pertuduhan, akhirnya mahkamah pertama ialah DNAA dilepaskan dan tanpa dibebaskan, saya tak faham dibebaskan daripada apa sebab saya belum dituduh.

"Tapi akibatkan kegopohan itu ada perkara berlaku menyebabkan mula-mula DNAA, saya rasa juga 30 minit DNAA, lepas tu serta-merta dituduh semula di mahkamah bilik sebelah.

"Ini melambangkan betapa kegopohan itu memang wujud sehingga berlaku kepincangan sebegini. Kalau sekiranya ini dirancang dengan baik, saya rasa tak ada la DNAA sebelum dituduh, saya rasa ini rekod sebab takda orang lain DNAA tanpa dituduh tapi itu berlaku," tegas beliau lagi.

Saya rasalah juga DNAA untuk lebih kurang 30 minit - Wan Saiful

Terdahulu, Wan Saiful hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 18 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM6 juta.

Beliau membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Husin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Wan Saiful didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi.