TELUK INTAN: Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meluluskan peruntukan awal sebanyak RM30 juta untuk kerja-kerja naik taraf Jalan Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik-Jeli.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, setakat ini sebanyak RM7.4 juta telah diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan laluan tersebut.

"Kami merancang juga akan pergi melawat di sebelah sana tapi semua itu telah dibincangkan, di peringkat Kementerian kita akan bagi peruntukan khas mungkin RM30 juta untuk peringkat awal untuk belanja di sana, untuk naik taraf atau buat kerja-kerja sepatutnya di jalan Gerik. Sebab kita ada peruntukan tambahan sikit tahun ini, jadi kita boleh gunakan," katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau kawasan selekoh berbahaya di Jalan Bidor- Teluk Intan, di sini, pada Khamis.

Menurutnya lagi, KKR sentiasa peka dengan isu yang sering dibangkitkan pengguna dan kerajaan negeri berkenaan laluan tersebut yang telah uzur kerana telah berusia lebih 40 tahun.

Katanya, KKR akan berusaha memberikan kerjasama dan perkhidmatan yang terbaik dalam menyediakan kemudahan infrastruktur yang selamat dan selesa.