NATIONAL
Peruntukan RM114 juta siapkan projek air bersih BALB di dua kawasan di Serian - Ismail Sabri

Ismail menghadiri majlis pelancaran Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Kampung Bunan, di Serian, petang tadi. - Foto Astro AWANI / Ismail Sabri
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menganggarkan kos sebanyak RM114 juta diperlukan bagi menyiapkan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dari kawasan Mentong Merau hingga ke Mongkos di Bahagian Serian, Sarawak.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek itu akan melibatkan sejumlah 44 buah kampung yang telah dikenal pasti dari dua kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang berada di Bahagian Serian.
Menurutnya, apabila siap sahaja projek BALB itu nanti, ianya akan memberi kemudahan air bersih yang mencukupi untuk masyarakat setempat di kedua-dua kawasan berkenaan.
Beliau turut memaklumkan yang projek tersebut merupakan sebahagian daripada projek di bawah KKLW yang telah diluluskan bagi bahagian Serian dalam program Rancangan Malaysia Ke-11.
"Projek ini dijangka akan bermula pada bulan Oktober tahun ini, dijangka siap pada 2018, 24 bulan, dua tahun," katanya lagi.
Daripada 44 buah kampung itu, 13 buah daripadanya berada dalam kawasan Tebedu manakala yang selebihnya adalah dalam kawasan Dun Kedup.
Turut hadir pada majlis itu, ialah calon BN bagi Dun Kedup, Martin Ben dan calon BN Dun Tebedu, Datuk Amar Michael Manyin Jawong.
Sementara itu, dalam ucapannya, Ismail turut mengumumkan peruntukan daripada KKLW iaitu sebanyak RM1.5 juta seorang untuk kedua-dua calon BN tersebut bagi projek penambahbaikan dan membina rumah penduduk yang layak bagi kawasan masing masing.
Peruntukan itu akan disalurkan kepada mereka apabila mereka menang pada Pilihan Raya Negeri ke-11 akan datang dan telah sah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Dun Kedup dan Tebedu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami