Skip to main content

Malaysia

Peruntukan RM4.6 bilion tangani isu sekolah daif di Sabah sejak 2023

KUALA LUMPUR, 3 Mac -- Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh ketika sesi menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Majlis Parlimen kelima Belas Dewan Negara di Parlimen Malaysia hari ini._BERNAMA
Wong Kah Woh berkata jumlah berkenaan ialah sebahagian besar daripada keseluruhan RM6.6 bilion yang diluluskan bagi tempoh 10 tahun sejak 2016. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) meluluskan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion bagi melaksanakan projek pembangunan semula sekolah daif di Sabah dalam tempoh empat tahun sejak 2023 di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata jumlah berkenaan ialah sebahagian besar daripada keseluruhan RM6.6 bilion yang diluluskan bagi tempoh 10 tahun sejak 2016.

"Apabila kita bincang berkenaan dengan sekolah yang mempunyai bangunan daif, data sekolah yang mempunyai bangunan daif sememangnya bersifat dinamik, iaitu data akan bertambah dan berkurangan dari semasa ke semasa bergantung pada kerja-kerja baik pulih yang dilaksanakan dan juga bergantung pada situasi sekolah masing-masing.

"Dari 2023 hingga 2026, empat tahun di bawah pemerintahan Kerajaan MADANI, jumlah kos projek yang diluluskan adalah sebanyak RM4.6 bilion. Projek-projek ini ada yang dalam status prapembinaan, ada yang dalam status pembinaan dan juga ada yang dalam status telah pun siap," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Phoong Jin Zhe yang ingin tahu usaha spesifik kerajaan dalam menangani isu sekolah daif di Sabah, memandangkan masih banyak sekolah di negeri itu yang memerlukan peruntukan besar bagi tujuan pembaikan.

Mengulas tentang peruntukan penyelenggaraan sekolah, Wong berkata Sabah menerima peruntukan tertinggi berbanding wilayah dan negeri lain. 

"Pada 2024, jumlah peruntukan yang disediakan untuk penyelenggaraan institusi pendidikan adalah sebanyak RM135.24 juta. Pada 2025 pula, RM196.14 juta merangkumi RM174.1 juta untuk sekolah dan RM21.95 juta bagi institusi bukan sekolah.

"Pada tahun ini, peruntukan mencecah RM175.18 juta hingga 17 Julai 2026 … peruntukan yang paling besar diturunkan kepada semua wilayah atau negeri dan Sabah memperoleh peruntukan yang paling tinggi," katanya.

Bagi projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rolling Plan 1 Tahun 2026, Wong berkata sebanyak 437 projek pembangunan di Sabah telah diluluskan oleh KPM yang merangkumi 31 projek baharu dan 406 projek sambungan.

Menyentuh isu pengisian dan kekurangan guru, beliau berkata KPM kekal komited melaksanakan Dasar 90:10 bagi memastikan 90 peratus guru di Sabah terdiri daripada anak tempatan negeri itu.

"Setakat 30 Jun lepas, pelaksanaan Dasar 90:10 ini telah pun mencapai 89.72 peratus di Sabah. Kadar pengisian guru di semua sekolah di Sabah pula mencapai 97.45 peratus," katanya. 

Wong berkata KPM turut mengambil langkah mempercepat pengisian kekosongan guru menerusi penubuhan Sekretariat Bersama KPM-KPT bermula pada Mac 2025, selain mengeluarkan Surat Siaran Penempatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG9 bertarikh 21 Mei 2026 bagi mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memberikan keutamaan pengisian guru baharu di sekolah luar bandar dan pedalaman.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement