KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi membaiki semua kerosakan yang terdapat di fasiliti-fasiliti pendidikan di bawah seliaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di seluruh negeri Pahang.

Beliau berkata peruntukan khas itu perlu kerana adalah tidak wajar negara terus memacu pertumbuhan ekonomi, tanpa menjamin keselesaan pelajar-pelajar menjalani pendidikan.

“Saya sudah luluskan peruntukan khas untuk baiki semua kerosakan yang ada dan ini juga terpakai di mana-mana (fasiliti) bawah MARA, IKM (Institut Kemahiran MARA), Giat MARA dan TVET yang ada bawah MARA di Pahang, di Pahang sahaja untuk kemudahan-kemudahan ini kita belanja RM5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Temu Anwar di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) di sini, hari ini.

Pada 23 Julai lalu, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.4 bilion bagi menambah baik bangunan sekolah yang daif di seluruh negara tahun ini.

Lanjutan itu, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata sebanyak RM650 juta daripada keseluruhan RM1.4 bilion peruntukan tersebut mula diagihkan kepada sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bermula pada hujung Julai.

Ia termasuk perbelanjaan membaiki kemudahan tandas yang sentiasa menjadi keutamaan, sekali gus memberikan keselesaan kepada pelajar dan semangat untuk mereka hadir ke sekolah.

RM5 juta baiki tandas institusi pendidikan MARA seluruh Pahang. - PM