KOTA KINABALU: Kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi menaik taraf dan membaik pulih Institusi Pendidikan MARA (IPMA) pada tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, RM25 juta daripada jumlah  peruntukan berkenaan disalurkan kepada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), RM17 juta lagi disalurkan kepada Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM).

Manakala, RM8 juta lagi diperuntukkan kepada Kolej MARA (KM) dan Kolej Profesional MARA (KPM).

Sementara itu beliau memaklumkan untuk Sabah sahaja RM2.347 juta diperuntukkan khusus buat IPMA di negeri ini.

"Peruntukan untuk Sabah itu termasuklah RM250,000 yang disediakan untuk MRSM Kota Kinabalu.

"Peruntukan itu adalah untuk membaik pulih perpaipan air bersih, naik taraf sistem pencegahan kebakaran dan penggantian perabot," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra selepas sesi lawatannya di MRSM Kota Kinabalu,

Peruntukan tersebut diluluskan di bawah peruntukan pembangunan melalui Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

Dalam lawatan itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan bantuan kepada pelajar MRSM terdiri daripada keluarga B40 serta Surat Arahan Perlaksanaan (SAP) Bina Baru Rumah PPRT kepada pelatih Pusat Giat MARA Beaufort yang terlibat dalam satu kebakaran baru-baru.

Untuk rekod, MARA mempunyai 4 buah MRSM di Sabah iaitu, MRSM Tun Mohd Fuad Stephens Sandakan, MRSM Tun Datu Mustapha Tawau MRSM Semporna, dan MRSM Kota Kinabalu yang akan ditukar nama kepada MRSM Tan Sri Musa Aman bagi mengenang jasa bekas Ketua Menteri Sabah itu.