SEREMBAN: Seorang pesakit dialisis dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pesakit remaja perempuan di sebuah hospital di Kuala Pilah, Januari lalu.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman terbabit terhadap warga emas Zulkefli Abdul Rani, 60, yang hadir berkerusi roda dalam prosiding fakta kes dan hukuman.
Advertisement
"Dengan mengambil kira tertuduh pesakit buah pinggang yang memerlukan menjalani dialisis dan mempunyai masalah kesihatan lain seperti patah kaki, mahkamah memberi pertimbangan dan tertuduh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dari tarikh 16 April 2026 (tarikh tuduh)," katanya.
Beliau mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tuduh pada 16 April lalu.
Mengikut pertuduhan, Zulkefli melakukan kesalahan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun ketika kejadian.
Kesalahan terbabit dilakukan pada 30 Januari 2026, jam lebih kurang 4 petang di sebuah hospital di Kuala Pilah.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memaklumkan tertuduh sedang menjalani dialisis.
Katanya, tertuduh tidak membayar jaminan RM5,500 yang ditetapkan ke atasnya sebelum ini dan proses ke hospital untuk dialisis diuruskan oleh pihak penjara. -- Sinar Harian