MALAYSIA
Pesara guru rugi RM838,000 terperdaya pelaburan tidak wujud

Seorang pesara guru kerugian RM838,000 selepas terperdaya dengan pelaburan tidak wujud yang ditawarkan melalui aplikasi WhatsApp, Februari lepas. - Foto hiasan
ALOR SETAR: Seorang pesara guru kerugian RM838,000 selepas terperdaya dengan pelaburan tidak wujud yang ditawarkan melalui aplikasi WhatsApp, Februari lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Supt Loi Yew Lik berkata lelaki berusia 72 tahun itu telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp pelaburan "P166 HIFA" dan telah berurusan dengan seorang individu wanita.
"Mangsa diberikan satu pautan untuk memuat naik satu aplikasi (PHC VIEW) Pinnacle Horizon Capital untuk melihat keuntungan diterima dalam pelaburan itu.
"Individu itu menjanjikan mangsa akan menerima pulangan lima kali ganda daripada jumlah dilaburkan dalam tempoh beberapa hari," katanya dalam kenyataan hari ini.Beliau berkata mangsa telah melakukan lapan transaksi keseluruhan wang RM838,000 ke dalam empat akaun bank berbeza.
Loi berkata mangsa kemudian melihat keuntungan berjumlah RM4.09 juta diperolehinya menerusi aplikasi yang dimuat naik itu, namun diberikan pelbagai alasan apabila mahu mengeluarkan wang terbabit.
"Individu terlibat turut meminta mangsa membuat bayaran tambahan. Mangsa kemudian membuat laporan polis apabila menyedari ditipu," katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan penipuan pelaburan dalam talian atas talian menggunakan nama syarikat pelaburan yang wujud seperti "Pinnacle Horizon Capital" dan "Moomoo" bagi mengaburi mangsa.
Setakat ini, katanya pihaknya telah membuka empat kertas siasatan melibatkan kes pelaburan "Moomoo" dan tiga bagi pelaburan "Pinaccle Horizon Capital".
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami