KAPAR: Mayat kedua-dua mangsa yang terlibat dalam nahas udara di Kampung Tok Muda, Kapar, telah berjaya dibawa keluar dari bangkai pesawat ringan kira-kira jam 7.55 malam Selasa.

Kedua-dua mayat itu dibawa menaiki trak Polis Diraja Malaysia yang berasingan, dan akan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, bagi tujuan bedah siasat dan pengecaman.

Menurut senarai manifest penerbangan, mangsa dikenali sebagai Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 42.

Kedua-dua mangsa merupakan ahli kepada kelab penerbangan rekreasi, dan dipercayai Yee sedang melatih Roshaan.

Dalam pada itu media juga sempat merakamkan kehadiran beberapa individu dipercayai keluarga mangsa.

Pihak polis mengesahkan nahas udara yang berlaku di Kampung Tok Muda, Kapar pada Selasa, telah mengorbankan dua nyawa.

Ketua Polis Negeri Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua mangsa tersebut berusia antara 30 hingga 42 tahun, dan sedang menjalani latihan penerbangan rekreasi.

Berkata, kedua-dua mangsa berada dalam kokpit pesawat yang terbenam kira-kira dua meter.

Hussein berkata setakat ini siasatan akan menentukan sama ada tubuh badan mangsa berada dalam keadaan yang sempurna, tetapi beliau mengesahkan keadaan kokpit pesawat yang terbenam masih dalam keadaan baik.

Sebelum ini Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan seramai dua penumpang termasuk seorang juruterbang berada dalam pesawat ringan yang terhempas di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kapar, Kampung Tok Muda, dekat sini pada Selasa.

Pesawat ringan model BK 160 Gabriel (nombor pendaftaran I-POOC), yang dikendalikan Air Adventure Flying Club berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada pukul 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.