Seorang petani dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulim hari ini atas pertuduhan memiliki dan menyimpan senjata api di sebuah rumah di Kampung Padang Cina, Kulim Hi Tech, pada 6 Julai lalu.

Tertuduh, Shahzairos Ramli, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Musyiri Peet.

Mengikut pertuduhan, Shahzairos didakwa menyimpan selaras senapang dalam sebuah kotak yang disembunyikan di dalam tanah dan ditutup dengan tikar di belakang rumah.

Tertuduh turut didakwa menyimpan selaras senapang patah yang disembunyikan di belakang pintu tandas rumah bersama sejumlah peluru yang disembunyikan di atas almari dalam bilik belakang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen (a) Akta Senjata 1960, Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya dan Seksyen 8 Akta Senjata Api.

Mahkamah menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh tidak dibenar diikat jamin.