MALAYSIA
PGA rampas rokok seludup, barang kawalan bernilai lebih RM100,000

Nik Ros Azhan berkata serbuan yang dijalankan pada 11 malam itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan hasil risikan dan maklumat awam. - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 61,620 batang rokok seludup dan sejumlah besar barang kawalan bersubsidi dalam serbuan di sebuah premis serta rumah di Kampung Kedai Buluh, di sini pada 21 Julai lepas.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata serbuan yang dijalankan pada 11 malam itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan hasil risikan dan maklumat awam.
Beliau berkata pemeriksaan ke atas premis dan rumah itu membawa kepada penemuan 61,620 batang rokok tidak bercukai, 1,088 kilogram (kg) minyak masak, 1,500 kg tepung gandum, 763 kg beras putih dan 400 kg beras pulut yang disyaki disimpan tanpa kebenaran sah.
"Penjaga premis, seorang lelaki berumur 27 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut manakala dokumen berkaitan barangan yang dikemukakan suspek juga didapati meragukan serta tidak mematuhi syarat lesen yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)."Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM155,000 dan kesemua barangan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kelantan serta KPDN Kota Bharu untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ros Azhan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(e) Akta Kastam 1967, Seksyen 21 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994 serta Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami