PUTRAJAYA: Sehingga 16 September lalu, seramai 85,076 remaja di Sarawak, Sabah dan Labuan sudah diberikan dos pertama vaksin Comirnaty keluaran Pfizer BioNTech di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja).

Daripada jumlah itu, tiada kesan sampingan yang serius dikesan dalam kalangan penerima, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Setakat ini, katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mensasarkan 3.2 juta rakyat Malaysia dalam lingkungan 12-17 tahun untuk terlibat dalam PICK Remaja.

Bagaimanapun, katanya, bagi negeri-negeri yang mempunyai kekangan dari segi bekalan vaksin, keutamaan akan diberikan kepada remaja yang perlu menghadapi peperiksaan awam, iaitu yang berumur 16 dan 17 tahun.

“Suka saya maklumkan, sehingga 16 September, seramai 85,076 remaja diberi dos tersebut, setakat ini tak ada kesan sampingan serius.

“PICK Remaja penting sebagai persediaan pembukaan sekolah, ini komitmen kita seperti yang diminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang minta. We want to open up schools in orderly manner.

“Antara strategi kita ialah memberi liputan imunisasi kepada mereka yang nak ambil periksa, dengan menyediakan persekitaran yang selamat, pastikan mereka mendapat perlindungan daripada vaksin,” katanya lagi.

Khairy berkata demikian pada majlis pelancaran PICK Remaja di SMK Putrajaya Presint 8(1), di sini hari ini.

Turut hadir , Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid, serta pegawai-pegawai kanan kedua-dua kementerian.

Tiada kesan sampingan setakat ini - KJ

Mengulas lanjut, beliau berkata, peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan remaja berusia bawah 18 tahun agak membimbangkan.

“Terdapat peningkatan daripada 12,620 kes COVID-19 pada 2020, kepada 400,668 kes sehingga 16 September 2021.

"Daripada jumlah tersebut, 252,569 kes melibatkan murid sekolah dan 42,831 kes melibatkan kanak-kanak pra-sekolah.

“Sebanyak 62 kematian dalam kalangan kanak-kanak telah dilaporkan pada 2021, berbanding enam kematian pada 2020,” katanya lagi.

BACA: PICK Remaja: KKM sasar 80 peratus dos lengkap menjelang Jan 2022

Atas faktor tersebut, Khairy berkata, KKM mensasarkan 60 peratus remaja lingkungan 12 dan 18 tahun mendapat sekurang-kurangnya 1 dos vaksin menjelang November ini.

Selain itu, t80 peratus golongan berkenaan disasarkan mendapat dos lengkap vaksin menjelang Januari 2022.

Jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak amat membimbangkan