KUALA LUMPUR: Komuniti pendaki dan peminat sukan lasak tanah air bakal diberi pendedahan eksklusif mengenai laluan alternatif baharu ke puncak Gunung Everest yang direka khas bagi memintas kawasan berbahaya, Khumbu Icefall.
Laluan perintis dikenali sebagai Sundare Sherpa–Marc Batard Route itu akan dibentangkan oleh Pengerusi Himalaya Expeditions, Bikram Pandey sempena program ‘Three Decades of Malaysia Everest Legacy’ di ibu negara pada 23 Ogos ini.
Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan Bikram dan pendaki pertama negara menawan Everest, Datuk M. Magendran pada Khamis, laluan baharu itu menawarkan alternatif ke Kem 1 dari sebelah Nepal melalui permatang Nuptse (Nuptse Ridge).
Pendekatan itu sekali gus membolehkan pendaki mengelak daripada merentasi Khumbu Icefall sepanjang kira-kira empat kilometer yang selama ini menjadi antara laluan paling mencabar dan merbahaya.
"Khumbu Icefall kekal sebagai antara seksyen paling mencabar secara teknikal dan berbahaya dalam laluan konvensional Everest, dengan rekahan ais (crevasses) serta muka bumi glasier yang sentiasa berubah.
"Dokumentasi projek merekodkan seramai 48 orang telah terkorban di kawasan Icefall, sebahagian besarnya adalah malim gunung Sherpa. Laluan baharu Nuptse ini bermatlamat mengurangkan pendedahan pendaki terhadap seksyen berbahaya tersebut," jelas kenyataan itu.
Inisiatif tersebut diterajui bersama oleh pendaki legenda Perancis, Marc Batard serta malim gunung Nepal, Speed Kaji Sherpa dan Passang Nuru Sherpa yang telah meneroka dan melengkapkan laluan berkenaan sejak 2021.
Menurut pelan projek, laluan itu dijangka dilengkapi kira-kira 200 tangga logam kekal dan tali keselamatan sepanjang 300 meter, tertakluk kepada kerja penyiapan akhir serta kebenaran daripada pihak berkuasa Nepal.
"Laluan baharu ini tidak mendakwa dapat menghapuskan sepenuhnya risiko pendakian altitud tinggi, sebaliknya objektif utamanya adalah untuk mengurangkan pendedahan kepada ketidaktentuan Khumbu Icefall serta membina laluan alternatif yang lebih mampan untuk ke Kem 1," menurut kenyataan itu lagi.
Selain aspek keselamatan pendakian, perhimpunan khas itu turut meraikan pencapaian tiga dekad pembabitan Malaysia di Himalaya (1997–2027) sejak Magendran dan Datuk N. Mohanadas melakar sejarah mengibarkan Jalur Gemilang di puncak dunia pada Mei 1997.
Bikram, yang juga Pengasas dan Presiden Everest Marathon, turut menggunakan platform tersebut untuk meneroka peluang kerjasama strategik bersama penganjur acara serta komuniti larian jarak jauh Malaysia.
Langkah berkenaan disifatkan mampu membuka ruang baharu dalam memperkukuh pelancongan sukan lasak dan hubungan silang budaya antara Malaysia dan Nepal bagi generasi pendaki serta atlet masa hadapan.