ALOR SETAR: Polis berjaya menemukan semula senjata dipercayai digunakan dalam kejadian seorang wanita ditikam di bahagian leher ketika berada di dalam kereta di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas dekat sini pada malam Ahad lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, senjata berupa pisau jenis ‘Rambo’ sepanjang kira-kira enam inci itu ditemui pada Isnin hasil dipandu arah oleh suspek.
Menurutnya, pisau tersebut ditemukan kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian yang dibuang di kawasan sawah.
“Kes tikam ini, saya maklumkan dua hari lepas kita telah berjaya menjumpai senjata yang digunakan.
“Pisau jenis ‘Rambo’ lebih kurang enam inci itu dijumpai dengan dipandu arah oleh suspek di kawasan sawah,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini pada Rabu.
Beliau berkata, penemuan senjata itu merupakan perkembangan positif dalam siasatan kes berkenaan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan mangsa yang juga ibu tunggal telah selesai menjalani pembedahan dan kini berada dalam keadaan stabil.
“Mangsa memang mengalami trauma akibat kecederaan tersebut. Dia masih lemah tetapi stabil,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan polis sedang mengesan senjata dipercayai digunakan dalam kejadian seorang wanita ditikam di bahagian leher pada malam Ahad.
Polis kemudiannya berjaya menahan suspek lelaki berusia 32 tahun kira-kira empat jam selepas kejadian selepas lelaki itu berjalan sejauh 6.2 kilometer sebelum diberkas berhampiran sebuah masjid di Taman Uda pada jam 1.50 pagi Isnin.
Operasi mengesan suspek turut dibantu Unit K9 polis.
Suspek kini direman selama tujuh hari bermula Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata. -- Sinar Harian