KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) bakal menjalinkan kerjasama dengan semua kedutaan asing di negara ini bagi memberi penjelasan mengenai Program Kebajikan dan Khidmat Imigran (PKKI).

Pengarah (Pengurusan) PKKI Peka, Simon Ee Yoong Pin berkata, ia bertujuan memberi penjelasan berhubung konsep PKKI yang dilaksanakan oleh pertubuhan itu sejak dua tahun lalu.

"Peka komited membantu masyarakat antarabangsa yang berada di Malaysia, terutama membabitkan aspek kebajikan dan perlindungan sosial mereka," katanya dalam dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

BACA: Lima juta warga asing disaran sertai PKKI Peka - Zuhairi

Menurutnya, berdasarkan semakan, terdapat kira-kira 81 kedutaan asing di negara ini.

Yoong Pin berkata, Peka akan berjumpa dengan pihak kedutaan dalam masa terdekat bagi mewujudkan jalinan kerjasama serta memberikan taklimat tentang pengenalan PKKI.

Antara lain, Peka akan berkongsi mengenai Skim Perlindungan Sosial yang memberi perlindungan kepada pekerja dan pelajar asing selain pelancong dengan menawarkan perkhidmatan, kemudahan dan bantuan pada kadar rendah.

"Skim itu menyediakan faedah tunai kepada mereka dan tanggungan apabila berlaku kejadian luar jangka sepanjang berada di negara ini.

"Apa yang lebih penting, mereka dilindungi 24 jam di bawah skim insurans kemalangan dan kematian, khidmat pengurusan jenazah termasuk urusan pengebumian serta penghantaran pulang ke negara asal," katanya.

Tambah Yoong Pin, skim itu juga menyediakan khidmat guaman kepada peserta yang memerlukan selain pengurusan dokumentasi bagi mengelakkan ditipu sindiket.

“Peserta juga akan diberi kad perkhidmatan mengandungi maklumat diri untuk rujukan yang mempunyai fungsi sistem 'Touch n Go'," jelasnya.

Beliau dalam pada itu yakin skim Peka itu akan disambut baik oleh kedutaan asing demi meningkatkan kesejahteraan sosial warganegara mereka yang berdaftar di bawah PKKI.

"Harapan Peka menerusi PKKI, kita mahu melihat organisasi antarabangsa mengambil langkah sama membantu dengan mewujudkan peluang seperti ini kepada rakyat Malaysia di luar negara," ujarnya.

Sejak dilaksanakan pada Julai 2018, lebih 100,000 warga asing menyertai PKKI dan Peka turut menyasarkan seramai 1 juta orang menyertai PKKI sehingga akhir tahun ini.