KUALA LUMPUR:Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Penjara Sungai Udang, Melaka dan kuarters kakitangannya, bermula 3 Februari sehingga 16 Februari.

Berikut adalah tumpuan kenyataan media harian Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin:

1. Sehingga 31 Januari 2021, KKM telah melaksanakan 339 ujian saringan di Penjara Sungai Udang termasuk kuarters kakitangannya dan daripada jumlah itu, sebanyak 113 kes positif COVID-19 telah direkodkan yang melibatkan 79 tahanan, 22 kakitangan dan 12 ahli keluarga.

2. Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 826 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Daripada jumlah itu, 776 dikompaun manakala 50 individu direman.

3. Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (170), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (158), tidak memakai pelitup muka (128), keluar rumah tanpa alasan munasabah (69), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (53) dan lain-lain (248).

4. Semalam, seramai 6,641 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 85 orang disahkan positif COVID-19.

5. Secara kumulatif, seramai 265,770 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 setakat ini.