KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mukim Endau dan Triang di Mersing, ditamatkan esok seperti dijadualkan sebelum ini, berikutan tiada lagi peningkatan mendadak kes COVID-19 selain kluster sudah terkawal.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam satu kenyataan berkata, daripada 202 ujian saringan dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) di kawasan berkenaan, hanya tiga kes positif direkodkan.

“Semua kes positif telah diasingkan dan dimasukkan ke pusat kuarantin manakala kes terakhir telah direkodkan pada 25 April 2021 iaitu sebanyak dua kes.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKP di mukim Endau dan Triang, Mersing, pada 3 Mei 2021 seperti yang dijadualkan,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju untuk menamatkan PKP Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung di Tumpat, Kelantan bermula hari ini.

Katanya, PKPD di lokaliti tersebut ditamatkan hampir dua minggu lebih awal dari tarikh asal iaitu pada 13 Mei depan.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 329 ujian saringan, 181 daripadanya disahkan positif COVID-19.

“Terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah diasingkan dan dimasukkan ke pusat kuarantin,” ujarnya.