KUALA LUMPUR: Seluruh daerah Kluang, Johor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 11 hingga 24 Mei ini, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai selepas Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat peningkatan kes positif dan kluster COVID-19 di daerah itu.

"Sejak 4 Mei 2021 dan sehingga semalam, daerah Kluang telah merekodkan 512 kes positif daripada keseluruhan 3,867 ujian saringan yang dilakukan oleh KKM.

"Selain itu, KKM juga melaporkan terdapat empat kluster aktif di daerah ini selain kadar positiviti pula ialah 13 peratus manakala kadar insiden semakin meningkat di beberapa perkampungan dan taman perumahan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, PKP itu bertujuan menyekat pergerakan terutamanya di musim perayaan dan cuti sekolah berikutan kluster tertinggi yang dilaporkan adalah daripada komuniti.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) di Kampung Keramat, Semporna, Sabah, bermula 11 hingga 24 Mei ini.

Katanya, KKM telah merekodkan 10 kes positif COVID-19 daripada 101 ujian saringan yang dilakukan ke atas penduduk di lokaliti tersebut.

"KKM juga melaporkan berlaku peningkatan jumlah kes yang amat ketara selain pematuhan SOP penduduk di lokaliti tersebut masih rendah.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes serta menyekat penularan jangkitan kes COVID-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain di luar lokaliti tersebut," ujarnya.