Seorang remaja yang disyaki menjadi 'tokan' dadah ditahan ketika dalam perjalanan menghantar bekalan pil kuda kepada pelanggannya di Kampung Machang, dekat sini, pada Selasa.

Suspek yang berusia 18 tahun itu diberkas kira-kira jam 9.40 malam selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan polis yang melakukan pemantauan Op COVID-19.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, anggotanya cuba menahan motosikal dinaiki suspek namun dia enggan berhenti sebaliknya cuba melarikan diri.

"Suspek yang tidak bekerja itu enggan memberi kerjasama dan bertindak memecut laju memasuki jalan kawasan kampung menuju ke Kampung Machang.

"Polis berjaya menahannya tidak lama kemudian dan pemeriksaan badan menemui sejumlah pil berwarna merah disyaki pil kuda dianggarkan bernilai RM3,000," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Dia turut disiasat mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan Seksyen 39 a(1) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.