KUALA LUMPUR:Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah serta beberapa lagi lokasi negeri-negeri lain dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia adalah susulan peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan terbabit.

Di Selangor, PKPB membabitkan seluruh negeri kecuali Sabak Bernam, Hulu selangor dan Kuala Selangor yang kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 22,931 kes positif COVID-19 direkodkan di Selangor dan 9,426 kes bagi Kuala Lumpur. Sehingga kini terdapat peningkatan ketara terutama dalam kalangan bukan warganegara melalui ujian saringan di tempat kerja serta wujud beberapa kluster baharu.

"Oleh itu, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPB di Kuala Lumpur dan Selangor kecuali Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor," katanya dalam sidang media hari ini.


Turut dilanjutkan PKPB di Mukim 12 (Barat Daya), Mukim 13 (Timur Laut) di Pulau Pinang; Ipoh, Chemor (Mukim Hulu Kinta) di Perak; Seremban, Port Dickson di Negeri Sembilan; dan Johor Bahru, Batu Pahat, Kulai di Johor.

Kerajaan bersetuju melanjutkan PKPB di Johor Bahru, Batu Pahat dan Kulai kecuali Kota Tinggi.

Sementara itu, PKPB di daerah Kulim, Kedah dan Kubang Kerian, Kusial di Kelantan ditamatkan Ahad ini.

Ia susulan tiada lagi kes positif COVID-19 baharu direkodkan di kawasan berkenaan.

BACA: Lima tumpuan sidang media Ismail Sabri