KUALA LUMPUR : Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lapan lokaliti di daerah Tawau, Sabah bermula dari 12 April hingga 25 April 2021. 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD bagi memastikan pergerakan penduduk di lokaliti ini dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar.

Lapan lokaliti berkenaan ialah  Taman Sri Bukit Tawau, Taman Cahaya, Jalan Tengku Osman, Kuarters Bomba Tawau, Bandar Sri Indah, Jalan Mesra, Kampung Titingan dan Taman Golden Hill. 

"Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 76 kes positif COVID-19 dan 220 orang kontak rapat telah dikesan dalam 8 lokaliti tersebut. KKM juga mengesahkan telah berlaku penularan jangkitan COVID-19 di
lokaliti di atas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. 

Dalam pada itu, PKPD turut dilaksanakan di Sungai Passin, Daerah Matu, Bahagian Mukah, Sarawak bermula 12 April sehingga 25 April 2021 susulan peningkat kes COVID-19 yang mendadak di lokaliti itu. 

Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 32 kes positif COVID- 19 telah direkodkan hasil saringan ke atas 64 orang penduduk di lokaliti tersebut.

Sementara itu, kerajaan juga bersetuju melanjutkan PKPD di Penjara Tapah, Batang Padang, Perak bermula 13 April sehingga 26 April 2021.

"Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah, Batang Padang, Perak yang dijadualkan tamat esok, 12 April 2021.

"Dalam tempoh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 3,572 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 891 kes positif COVID-19 telah direkodkan," tambahnya. 

Jelasnya, KKM mengesahkan masih berlaku penularan jangkitan serta ramai tahanan yang ditempatkan di PKRC belum sembuh sepenuhnya.
 
Selain itu, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kg. Pak Sik dan FELCRA Keruak, Mukim Hulu Besut, Daerah Besut, Terengganu bermula 12 April sehingga 20 April 2021.

Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk dan seterusnya mengawal penularan jangkitan COVID-19.