KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima lokaliti di Sabah bermula 1 sehingga 14 Jun.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan peningkatan kes di lokaliti-lokaliti terbabit.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti berkenaan berkuat kuasa 1 Jun sehingga 14 Jun 2021," jelasnya.

Kawasan-kawasan yang dikenakan PKPD itu ialah Kampung Tanjung Kapor di Kudat, Kampung Assam di Lahad Datu, Taman Pelangi di Semporna, dan Kampung Payas-Payas serta Kampung Rampayan Laut di Kota Belud.

Dalam pada itu, di Kedah pula, PKPD di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah, Jitra dilanjutkan selepas KKM membuat penilaian risiko dan mendapati kadar kebolehjangkitan di kawasan tersebut amat tinggi.

"Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Darulaman, Jitra, Kedah yang dijadualkan tamat pada 31 Mei 2021.

"KKM mengesahkan jumlah kes semakin meningkat dan kebolehjangkitan yang amat tinggi di lokaliti ini," jelasnya lagi.

Situasi sama di PKPD Lubuk Kawah, Jitra apabila 48 penduduk disahkan positif daripada 632 ujian saringan dijalankan.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD Lubuk Kawah, Jitra, Kedah bermula 1 Jun sehingga 14 Jun 2021," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri itu turut mengumumkan penamatan PKPD di 16 lokaliti di Sungai Ruan dan tujuh lokati di Sempalit, Rabu, Pahang selepas penurunan kes dicatatkan.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di 16 lokaliti di Sungai Ruan dan 7 lokaliti di Sempalit, Raub, Pahang pada 31 Mei 2021 lebih awal daripada yang dijadualkan," katanya lagi.