KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Jagaan Rohaniah, Sekolah Integrasi Ikhwan, Kg. Gong Kulim, Mukim Semerak, Pasir Puteh, Kelantan bermula 29 Mac sehingga 11 April 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti. 

"KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dengan sebanyak 25 kes positif COVID-19 telah direkodkan di lokaliti ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. 

PKPD di Penjara Tapah dilanjutkan

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju melanjutkan PKPD di Penjara Tapah, Batang Padang, Perak
bermula 30 Mac sehingga 12 April 2021 kecuali Kuarters Kakitangan Penjara Tapah yang ditamatkan pada 29 Mac 2021.

Ia berikutan KKM mengesahkan masih berlaku jangkitan yang melibatkan tahanan dengan 27 kes positif terakhir telah dilaporkan pada 25 Mac 2021.

"Walau bagaimanapun, peningkatan kes ini tidak melibatkan anggota serta ahli keluarga yang tinggal di kuarters kakitangan penjara tersebut," ujarnya. 

PKP di Daerah Nabawan, Sabah tamat

Dalam pada itu, kerajaan turut bersetuju menamatkan PKP di Daerah Nabawan, Sabah pada 30 Mac
2021 seperti yang dijadualkan.

"Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Daerah Nabawan, Sabah yang dijadualkan tamat pada 30 Mac 2021.

"KKM mengesahkan baki kes positif di daerah ini menunjukkan trend penurunan, kluster adalah terkawal serta kes terakhir yang dilaporkan adalah pada 26 Mac 2021 iaitu sebanyak satu kes," ujar Ismail Sabri. 

PKPD di Pulau Tioman serta Kampung Bintawa Ulu dan Tengah, Kuching tamat

Sementara itu,  PKPD di Pulau Tioman, Rompin, Pahang ditamatkan pada 29 Mac 2021 seperti yang dijadualkan kecuali di Kampung Juara yang dilanjutkan tempoh PKPD bermula 30 Mac sehingga 6 April 2021. 

Sehingga kini, 1,340 ujian saringan telah dilaksanakan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 55 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

"Walaubagaimanapun, KKM mengesahkan terdapat kes-kes baharu telah dikesan dalam kalangan penduduk Kampung Juara di pulau ini dengan 32 kes positif telah dilaporkan setakat ini. KKM turut melaporkan masih terdapat baki sampel saringan sejumlah 32 yang sedang menunggu keputusan,"kata Ismail Sabri. 

Selain itu, PKPD di Kampung Bintawa Ulu dan Tengah, Kuching, Sarawak turut ditamatkan pada 30 Mac 2021 seperti yang dijadualkan.

Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 3,764 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 19 kes positif COVID19 telah direkodkan.

"KKM mengesahkan kluster yang melibatkan kedua-dua lokaliti ini adalah terkawal dan kesemua kes positif telah dimasukkan ke PKRC serta kontak rapat diasingkan dan dipantau sehingga hari ke-14," tambahnya lagi.