KUALA LUMPUR : Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Menengah Kebangsaan Melugu di Sri Aman, Sarawak, susulan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di sekolah berkenaan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan itu berkuat kuasa 30 April sehingga 13 Mei 2021.

Menurutnya, sebanyak 594 ujian saringan telah dijalankan dan daripada jumlah itu, sebanyak 17 kes positif COVID-19 telah direkodkan dalam tempoh satu minggu.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di SMK Melugu, Sri Aman, Sarawak bermula 30 April sehingga 13 Mei 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, PKPD turut dilaksanakan di Taman Sri Desa di Temerloh, Pahang untuk tempoh sama.

Keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 11 kes positif COVID-19 daripada 117 orang yang disaring.

“KKM juga mengesahkan masih berlaku penularan kes di lokaliti tersebut dan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk mengurangkan pergerakan dan komunikasi dalam komuniti bagi memutuskan rantaian jangkitan serta memudahkan aktiviti pengesanan awal kes-kes berisiko di kawasan sekitar,” ujarnya.

Dalam pada itu, PKPD di SMU (A) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Tumpat, Kelantan yang dijadualkan tamat pada 29 April 2021 dilanjutkan bermula 30 April sehingga 13 Mei 2021.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 329 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 170 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

“KKM melaporkan masih berlaku penularan jangkitan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD serta terdapat 159 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” katanya.

Selain itu, PKPD di Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan turut dilanjutkan bermula 1 Mei sehingga 14 Mei 2021.

Ia selepas KKM melaporkan masih terdapat penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD serta sebanyak 237 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.