KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka yang dijadualkan tamat pada 2 April dilanjutkan sehingga 16 April depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 1,277 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatifnya sebanyak 63 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

"KKM mengesahkan masih terdapat peningkatan kes baru COVID19 yang dilaporkan di lokaliti dan sebanyak 101 baki sampel ujian saringan yang sedang menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Dalam pada itu katanya, kerajaan turut melanjutkan PKPD di Kilang YTY dan Asrama Pekerja, Lekir, Sitiawan, Perak bermula 2 sehingga 15 April 2021.

"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,174 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatifnya sebanyak 109 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

"KKM mengesahkan masih berlaku penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan penghuni asrama dan kes terakhir dilaporkan adalah pada 28 Mac 2021 iaitu sebanyak tujuh kes," jelasnya.

Sementara itu, kerajaan turut mengumumkan Kampung Ranggu Batu 10, Mukim Balung serta Fasa 2 Taman Semarak dan Kampung Baru Pasir Putih, Mukim Sri Tanjung, di Tawau, Sabah, dikenakan PKPD bermula 1 April hingga 14 April.

Katanya, sehingga 30 Mac, KKM telah melaksanakan 59 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak lapan kes positif telah direkodkan di Kampung Ranggu Batu 10.

Sebanyak 16 ujian saringan juga telah dilaksanakan di Fasa 2 Taman Semarak dan daripada jumlah itu sejumlah enam kes positif COVID-19 telah dilaporkan serta baki sembilan sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

KKM turut melaksanakan sebanyak 89 ujian saringan di Kampung Baru Pasir Putih dan daripada jumlah itu lapan kes positif COVID-19 telah direkodkan serta terdapat 75 lagi sampel saringan menunggu keputusan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail menjelaskan, sembilan individu ditahan dan dikompaun atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lalu.

"Antara kesalahan ingkar SOP adalah aktiviti pusat hiburan (7) dan tiada penjarakan fizikal (2)," ujarnya.

Katanya lagi, Operasi Benteng telah menangkap 19 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mengesan 117 buah bot/kapal di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan.

Sementara itu katanya, sebanyak 73 operasi sanitasi dilakukan meliputi 21 zon merah, empat zon jingga, 20 zon kuning dan tiga zon hijau di seluruh negara.

Ujarnya lagi, seramai 5,189 warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 pada Selasa dan daripada jumlah itu, sembilan didapati positif.

Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 664,946 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 34,524 majikan.