KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di tiga perkampungan Mukim Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan berkuat kuasa 9 Mei sehingga 22 Mei ini.

Tiga perkampungan tersebut ialah Kampung Paya Ular, Kampung Tualang serta Kampung Bechah Palas.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes secara mendadak manakala kadar positiviti COVID-19 di tiga lokaliti itu adalah tinggi.

Sehingga kini, sebanyak 120 kes positif telah direkodkan di tiga perkampungan tersebut, di mana 42 kes di Kampung Paya Ular, Kampung Tualang (26 kes) manakala Kampung Bechah Palas (52 kes).

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM,

"Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di tiga perkampungan tersebut berkuat kuasa 9 Mei sehingga 22 Mei 2021.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan pengesanan awal kes serta mencegah penularan jangkitan ke kampung berhampiran," katanya dalam kenyataan, di sini pada Jumaat.

Sementara itu, PKPD di Sekolah Menengah Sains Banting, Kuala Langat, Selangor diisytiharkan tamat seperti mana yang dijadualkan iaitu 7 Mei.

Ismail Sabri turut memaklumkan PKPD di Sekolah Menengah Sains Machang, Kelantan yang dijadualkan berakhir pada 16 Mei ini, ditamatkan lebih awal iaitu hari ini.

"KKM juga mendapati berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan," katanya.

Satu lagi PKPD yang ditamatkan adalah Kampung Muhibbah Raya, Tawau, Sabah iaitu pada  8 Mei, seperti yang dijadualkan.