Sebanyak 541 daripada 3,225 tapak pembinaan yang diperiksa di seluruh negara didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua tapak pembinaan itu diperiksa dari 20 April hingga 19 Julai.

"Semua kontraktor di tapak pembinaan yang tidak mematuhi SOP sudah diberi amaran dengan 19 tapak diarahkan tutup," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Sementara itu, katanya sebanyak enam tapak pembinaan di Terengganu dan Kelantan diperiksa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada Ahad dengan semua mereka didapati mematuhi SOP.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, secara keseluruhan bekalan barang keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara secara berterusan selain mudah diperolehi.

Katanya, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 684 premis perniagaan termasuk peruncit (514), pemborong (145) dan pengilang (25).

"Pegawai penguat kuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,560 pemeriksaan khas pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan mendapati 1,548 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala sembilan premis diberi nasihat dan tiga premis lagi diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

"Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian," ujarnya.