KUALA LUMPUR : Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu memanfaatkan inisiatif #SayaDigital yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.

Presiden Dewan Perdagangan Digital Malaysia, Chris Danial Wong berkata, peluang tersebut harus digunakan sebaiknya dalam meningkatkan perniagaan mereka.

Tambah Chris, pengumuman itu juga disifatkan tepat pada waktunya.

“PKS perlu guna peluang sebegini untuk pacu perniagaan mereka ke hadapan untuk pemasaran dan juga mendapatkan pelanggan baru.

“Statistik yang kami terima, ramai pengguna mula mendapatkan informasi melalui internet.

“Saya bagi contoh sesebuah restoran, apabila pengguna nak makan, mungkin akan cari di internet untuk melihat ulasan,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin Astro AWANI pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kupon internet diberikan kepada penduduk di luar bandar terutamanya untuk golongan B40.

“Kita sambut baik peluang tersebut namun utk kawasan pedalaman kita syorkan bahawa kerajaan boleh beri kupon internet kepada para pengguna khususnya B40.

“Mereka masih gunakan top-up (prabayar), mungkin akses internet meka mungkin ada tahap kemampuannya, mungkin data mereka tidak mencukupi,” ujarnya.

Program #SayaDigital yang dilaksanakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) merupakan usaha kerajaan bagi memperluas literasi dan adaptasi digital kepada pelbagai lapisan masyarakat.