KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bekerjasama bagi mengurangkan jumlah kemalangan disebabkan kenderaan berat selain melibatkan penunggang motosikal pada 2023.

Matlamat itu menjadi agenda utama yang dipersetujui semasa Mesyuarat Koordinasi PLUS dan JPJ selaku Rakan Strategik Keselamatan PLUS di Akademi JPJ pada 7 November 2022.

Berdasarkan statistik, terdapat peningkatan kemalangan maut yang disebabkan kenderaan berat pada 2022 dan menunjukkan bahawa ia merupakan penyumbang utama kepada masalah pengurusan trafik apabila berlakunya kemalangan selain daripada isu halangan melibatkan cebisan tayar kenderaan berat.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, walaupun secara keseluruhannya terdapat pengurangan jumlah kemalangan berbanding 2019 di lebuhraya PLUS namun kemalangan membabitkan kenderaan berat meningkat sebanyak 2%.

"Kemalangan di lorong kecemasan membabitkan kenderaan yang rosak pula meningkat sebanyak 5% berbanding 2019.

"PLUS dan JPJ akan mengambil beberapa pendekatan baharu dalam meningkatkan lagi tahap keselamatan termasuklah penguatkuasaan secara digital menggunakan kamera ANPR dan teknologi Weight-In-Motion untuk mengenal pasti kenderaan berat yang melebihi had muatan.

"Kenderaan yang membawa lebih muatan berpotensi untuk menyebabkan kemalangan akibat hilang kawalan, rosak, dan tayar pecah selain daripada merosakkan permukaan jalan," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi PLUS, semalam.

Mesyuarat Koordinasi PLUS dan JPJ selaku Rakan Strategik Keselamatan PLUS berlangsung di Akademi JPJ pada 7 Nov 2022. - Facebook PLUS Malaysia

Statistik PLUS juga turut menunjukkan kawasan lebuh raya berhampiran kawasan perindustrian merupakan lokasi kemalangan membabitkan penunggang motorsikal.

Sehingga September 2022, kemalangan di Lebuh Raya PLUS mengakibatkan 333 kehilangan nyawa dan daripada jumlah itu, 216 melibatkan penunggang motosikal.

Kerjasama PLUS dan JPJ telah terjalin sejak sekian lama dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan di lebuh raya.

Sejak 2017, sebanyak 317 Ops Halangan telah dilaksanakan di lebuh raya dan PLUS menyumbang tiga Stesen Penguatkuasaan JPJ, sebuah Pusat Unit Penguatkuasa Lebuhraya (UPLR) dan kenderaan rondaan JPJ.

Mesyuarat koordinasi PLUS-JPJ turut menggariskan kolaborasi komunikasi strategik bagi advokasi terhadap pemandu kenderaan berat serta penunggang motosikal. - DagangNews.com