PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melancarkan MyPLUS-TTA, sebuah aplikasi digital untuk pengguna lebuh raya merancang perjalanan semasa musim perayaan.

MyPLUS-TTA membantu mengoptimumkan pengagihan trafik bagi mengurangkan risiko kesesakan dan meningkatkan keselesaan perjalanan pengguna.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, inisiatif baharu yang diperkenalkan ini
mengadaptasikan pendekatan digital selari dengan perkembangan teknologi masa kini yang semakin pesat.


"MyPLUS-TTA atau Travel Time Advisory, ialah advisory untuk menasihat atau menggerakkan ataupun memberi maklumat bukan secara paksa.

"Jadi kepada pengguna jalan raya yang ingin menggunakan lebuh raya semasa musim cuti nanti, untuk mengetahui bila masa yang sesuai untuk mengelakkan kesesakan dan sebagainya di lebuh raya semasa musim percutian," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Aplikasi My-TTA di Menara Korporat, Persada PLUS, di sini, hari ini.

Tambahnya, aplikasi ini juga boleh diintegrasi dengan aplikasi MyJalan sedia ada dalam usaha memastikan pengguna mendapat manfaat daripada informasi berkenaan lebuh raya.

"Bagi menambah baik aplikasi MyJalan, saya telah melakukan perbincangan dengan pengarah urusan PLUS bagi mengintegrasikan MyPLUS-TTA ke dalam aplikasi MyJalan KKR pada setiap musim perayaan," tambahnya lagi.

Beliau yakin MyPLUS-TTA mampu memberi nafas baharu kepada pendekatan rakyat dalam merancang perjalanan di musim perayaan dan dapat membantu mengurangkan kemungkinan berlakunya kesesakan di lokasi-lokasi tertentu di lebuh raya menerusi strategi pengagihan trafik.