Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengusulkan kepada jemaah menteri bahawa bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat ke atas golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dinaikkan daripada RM300 kepada RM1,000.

Beliau berkata, cadangan itu akan diusulkan pada mesyuarat Kabinet minggu depan dan yakin ia akan disokong beberapa barisan menteri.

"Saya mahu ubah dasar itu menaikkan bantuan kepada golongan B40 daripada RM300 ke RM1,000.

"Saya tahu kenyataan ini mempunyai implikasi besar tetapi saya tidak peduli. Apa yang penting ialah kehidupan rakyat di bawah. Mereka sudah terseksa sekian lama," katanya pada Majlis Perjumpaan Pimpinan Masyarakat di Dewan Hakka Sandakan pada Ahad.

Jelas Muhyiddin lagi, usaha membantu golongan B40 merupakan aspirasi Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinannya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Sabah boleh terus menikmati kemajuan dan pembangunan secara berterusan jika kerajaan negeri dan Persekutuan berada dalam satu pasukan.

Jelas Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau tidak menafikan keupayaan kerajaan negeri untuk membangunkan Sabah tetapi gandingan kerajaan negeri dan Persekutuan itu akan memacu negeri ini sebagai negeri termaju di Malaysia.