PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menganjurkan majlis makan tengah hari bagi meraikan 15 pimpinan media Indonesia di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Semua pimpinan media berkenaan tiba di Malaysia Sabtu lepas bagi menghadiri sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 yang berlangsung di Melaka, semalam.

Delegasi itu termasuk Ketua Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Indonesia Asro Kamal Rokan, Ketua Umum Persatuan Wartawan Indonesia Atal S Depari, Ketua Pemberitaan agensi berita Antara Akhmad Munir, Ketua Editor Kumparan.com Ariffin Asydhad dan Ketua Editor Jakarta Post M. Taufiqurrahman.

Majlis makan tengah hari itu turut dihadiri 10 ahli jawatankuasa ISWAMI Malaysia antaranya Presiden Datuk Mokhtar Hussain, Naib Presiden Ashwad Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

Sementara itu, Mokhtar ketika menyampaikan ucapan aluan berkata hubungan akrab antara pengamal media dari Malaysia dan Indonesia dapat mempertingkatkan perkongsian berita serta memahami budaya dan bahasa kedua-dua negara.

"Bila kita faham budaya dan bahasa kedua-dua negara, kita dapat elak kesilapan pelaporan berita. Contohnya dari segi bahasa, walaupun nampak macam perkara kecil tetapi besar impak kepada negara," katanya.

Asro pula menyifatkan jemputan majlis makan tengah hari itu sebagai suatu penghormatan luar biasa dalam suasana kekeluargaan dan kebersamaan.

Berkongsi perbualannya bersama Ismail Sabri, Asro berkata beliau memuji konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Ismail Sabri kerana konsep itu dapat menjadi asas kepada pembangunan bangsa berteraskan kekeluargaan.

"Kami bicara sedikit tadi mengenai konsep Keluarga Malaysia. Bagi saya konsep ini jadi inti yang luar biasa kerana untuk bangunkan bangsa perlu bangunkan keluarga juga," katanya.

Beliau yang juga bekas Pemimpin Umum agensi berita Antara turut mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri yang menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Perubatan dari Universiti Nihon, yang merupakan antara universiti swasta terkemuka dan tertua di Jepun ketika sesi lawatan rasmi beliau ke negara matahari terbit itu baru-baru ini.

"Kami dari Indonesia ucapkan tahniah kepada bapak Ismail Sabri atas anugerah diterima yang didapatkan atas perhargaan kerana keberhasilan Malaysia menentang pandemik COVID-19," katanya.

Usai majlis, Ismail Sabri menyerahkan buku 'coffee table' bertajuk Ismail Sabri Yaakob Teraju Keselamatan: Depani Ancaman COVID-19, nukilan Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri Datuk Ruhaidini Abdul Kadir kepada delegasi yang hadir, sebagai tanda kenang-kenangan.

-- BERNAMA