GEORGE TOWN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang, bagi menghadiri beberapa program rasmi utama yang menumpukan kepada agenda kemajuan dan kesejahteraan rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual menghadiri sambutan ulang tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke-80 dan Karnival Mega JPJ MADANI di Pekarangan Stadium Negeri, Batu Kawan dekat sini pada 10.30 pagi.
Advertisement
Turut mengiringi beliau pada majlis itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abdul Bakar dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.
Selepas itu, Anwar dijadual mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Seberang Perai Tengah di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Bukit Mertajam, yang dijangka menjadi platform penting dalam menyelaras agenda pembangunan setempat.
Perdana Menteri akan mengakhiri lawatan dengan menghadiri majlis perasmian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kubang Semang dekat sini pada 3 petang.
Majlis yang akan dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil itu juga bakal menyaksikan pengiktirafan NADI Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai Pusat Transformasi Digital Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
-- BERNAMA